Giant Akan ‘Tinggalkan’ Sabah & Sarawak

PETALING JAYA: GCH Retail (M) Sdn Bhd, yang mengendalikan hypermarket dan pasar raya Giant, Cold Storage, Mercato dan Jason akan ‘keluar’ dari Sabah dan Sarawak dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada penyusunan semula operasi, The Edge Malaysia melaporkan Sabtu lalu.

Menurut The Edge Malaysia, firma peruncitan itu tidak akan menutup perniagaannya seperti di Semenanjung, tetapi sedang dalam proses mengalihkan cawangannya di Sabah dan Sarawak kepada pemain tempatan.

Jurucakap GCH Retail memberitahu The Edge Malaysia, “Di Sabah dan Sarawak, kami sedang dalam proses peralihan semua kedai kami kepada peruncit tempatan yang berwibawa yang akan meneruskan perniagaan pasar raya-pasar raya kami untuk kebaikan para pelanggan kami dalam jangka panjang.

“Perubahan ini juga telah membuka peluang baharu untuk pasukan sedia ada, dan membuka peluang pekerjaan baharu.

“Kami telah berunding dengan pegawai dan kementerian yang berkenaan untuk memastikan peralihan ini dapat dilakukan dengan cara paling berkesan, tanpa memberi impak kepada para pelanggan dan pasukan kerja kami, yang akan terus kami berikan perhatian apabila perubahan ini berlaku,” katanya.

The Edge Malaysia berkata, salah satu pemain tempatan yang dikenal pasti untuk mengambil alih gedung Giant ialah Bataras Sdn Bhd.

Jurucakap itu menambah bahawa kedai-kedai kesihatan dan kecantikan, yang beroperasi di bawah nama Guardian, akan terus beroperasi.

“Peralihan operasi peruncitan kami [pasar raya dan pasar raya besar] kepada pemilikan tempatan tidak menjejaskan perniagaan kesihatan dan kecantikan kami.

Kedai-kedai Guardian kini beroperasi dengan baik di Sabah dan Sarawak dan kami terus melabur di dalamnya untuk memenuhi keperluan penduduk di sana.

Menurut The Edge Malaysia, GCH, yang merupakan sebahagian daripada Dairy Farm International Holdings Ltd (DFI) Hong Kong, merupakan satu-satunya pengendali pasar raya asing yang menjalankan perniagaan ke Sabah dan Sarawak.

 Edge Prop

44164