Industri Pelancongan Stabil, Sabah Ambil Inisiatif Tarik Pelancong Eropah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal yakin industri pelancongan Sabah tidak akan lumpuh dengan keputusan menggantung sementara waktu semua penerbangan dari China ke Sabah.

Beliau berkata, industri pelancongan masih berada dalam keadaan stabil biarpun sekatan penerbangan itu terpaksa diambil berikutan penularan wabak koronavirus.

Katanya, sebagai alternatif kerajaan turut berusaha mempromosikan sektor pelancongan negeri ke Eropah bagi menarik kehadiran pelancong dari beberapa negara di benua itu untuk datang ke Sabah.

Menurutnya, banyak langkah-langkah telah dilaksanakan sejak tahun lalu oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bagi mempromosikan Sabah ke pasaran luar negara.

“Kita sudah mengambil inisiatif mempromosikan Sabah di United Kingdom, Jerman, Australia serta Istanbul, Turki.

“Malah, saya juga telah berbincang dengan syarikat penerbangan AirAsia supaya membawa pelancong dari Australia dan New Zealand datang ke Sabah tahun ini.

“Ini adalah langkah yang kita harap dapat direalisasikan dalam kita berdepan situasi yang dihadapi sekarang.

“Dalam menggerakkan ekonomi, kita tidak boleh bergantung kepada satu sumber sahaja sekiranya mahu mengekalkan kemampanan industri pelancongan di negeri ini,” katanya ketika mengulas mengenai usaha mengurangkan impak penggantungan penerbangan dari China ke Sabah.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kelulusan Pembangunan Dalam Tempoh 24 jam yang dibangunkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew juga akan ke beberapa negara lain seperti Rusia dan Norway yang diketahui mempunyai kekayaan serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi.

“Mereka (orang Norway) ini berminat dengan konservasi dan kita sendiri mempunyai pusat konservasi di Imbak Kanyon dan Lembah Danum yang pastinya boleh menarik pelancong ini.

“Pelancong bukan hanya ingin melihat pulau-pulau dan mendaki Gunung Kinabalu, pelancong atau penyelidik juga boleh melihat keindahan alam dan hutan semula jadi yang terdapat di Sabah, penyelidik boleh membuat kajian selama dua hingga tiga bulan di Sabah.

Dalam masa sama katanya, kemasukkan pelancong domestik dari Semenanjung Malaysia juga perlu dipertingkatkan.

Katanya, beliau akan meminta Christina mengadakan perbincangan dengan penggiat industri pelancongan untuk menyesuaikan pakej pelancongan domestik bagi menarik lebih banyak kemasukan pelancongan tempatan ke negeri ini.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *