Ahli Parlimen Sandakan Buat Laporan Polis Terhadap Bekas Ketua Polis Negara

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kerana mengeluarkan kenyataan fitnah ketika memberi syarahan.

Vivian membuat laporan di Balai Polis Bandar Sandakan, 3.10 petang, semalam.

Menurut Vivian, kenyataan fitnah Musa dikeluarkan ketika memberi syarahan di universiti awam di Shah Alam, 30 Januari lalu, bermula 9.30 pagi.

Beliau berkata, syarahan itu bertajuk ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?.’

“Saya mendapati bahawa syarahan itu mengandungi hujahan fitnah dan berita palsu yang mendakwa Parti Tindakan Demokratik (DAP) ingin menghidupkan semula puak komunis di Malaysia.

“Dua perkara khusus yang dibangkitkan seolah-olah fakta bagi menyokong teori dangkal beliau yang lain dalam syarahan tersebut adalah pada minit ke-47 dalam video yang dipaparkan di Facebook media rasmi universiti terbabit.

“Beliau melontarkan fitnah bahawa DAP disokong oleh PKM (Parti Komunis Malaya) menyebabkan kejadian 13 Mei pada tahun 1969,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Vivian berkata, pada minit ke-57 satu lagi fitnah menuduh DAP hendak menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

“Ini jelas kenyataan berniat jahat yang ingin menjejaskan imej DAP selaku sebuah parti politik pemerintah dan mencetuskan kacau-bilau antara masyarakat.

“Ia adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan apabila beliau membuat fitnah atas niat untuk menjejaskan reputasi nama baik DAP.

“Saya menyeru pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap beliau dengan kadar yang segera demi keharmonian masyarakat di negara kita,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *