Perintah Berkurung Tidak Efektif, Rancangan Keselamatan Perlu Distruktur Semula

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menyifatkan pelaksanaan perintah berkurung di kawasan perairan Pantai Timur Sabah tidak efektif dalam mengekang jenayah rentas sempadan terutama aktiviti penculikan.

Sebagai wakil rakyat, beliau sering mendapatkan maklumat berhubung isu berkenaan daripada penduduk akar umbi.

Katanya, tidak dinafikan aktiviti pemeriksaan ke atas bot-bot tempatan di perairan adalah antara tugas pihak berkuasa, tetapi fokus utama perlu diberikan dalam mengatasi kehadiran serta keupayaan untuk mengenalpasti bot-bot asing.

Vivian (dua, kiri) bersama Panglima Medan Timur Tentera Darat, Datuk Wira Zamrose Mohd Zain (tengah) meletakkan cokmar sempena Sambutan Hari Tentera Darat Ke-87 di Kompleks Sukan Sandakan.

“Pasukan keselamatan bukan sahaja berperanan memastikan perairan negara berada dalam keadaan selamat, tetapi mereka juga perlu mengenalpasti bot yang mencurigakan.

“Ini kerana kes penculikan masih lagi berlaku setiap tiga bulan. Berapa ramai mangsa yang dibebaskan dan kemudian senyap tanpa berita. Apabila ditanya, mereka kata masih dalam pencarian dan akhirnya tiada penghujung. Dan perkara ini berulang lagi selepas beberapa bulan.

“Isu ini memberi tekanan yang hebat kepada wakil rakyat dan pemimpin. Oleh itu, kita perlu menstruktur semula rancangan keselamatan sekiranya perintah berkurung dimansuhkan. Ini adalah punca utama kenapa bidang pelancongan merudum sama seperti industri perikanan,” katanya.

Beliau berkata demikan sebagai mengulas cadangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk memansuhkan pelaksanaan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), selepas menghadiri Sambutan Hari Tentera Darat Ke-87 di Kompleks Sukan Sandakan di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Vivian berkata penggunaan teknologi maklumat menerusi alat pengesan radar perlu dimanfaatkan dalam risikan keselamatan di kawasan Esszone.

“Saya mahu tahu ada berapa buah radar yang berfungsi dan berapa yang tidak. Dan adakah kita mempunyai pengawasan di sepanjang perairan yang mencukupi.

“Sebab saya faham perairan negara sangat luas dan disinilah kita perlu memanfaatkan kepintaran teknologi maklumat. Melalui radar kita boleh lihat sama ada bot itu biasa atau luar biasa.

“Minggu depan saya bercadang untuk bertemu dengan pihak Esscom bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung rancangan keselamatan. Kita perlu tahu dan beritahu masyarakat mengenai tahap keselamatan semasa,” jelasnya.

Utusan Borneo

1279