TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan kereta pacuan empat roda di Kilometer 53.4 berhampiran Kampung Pangkalan Jalan Telipok-Tenghilan di sini.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata kejadian jam 10.15 pagi itu berlaku apabila mangsa berumur 32 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Belud.
“Mangsa kemudiannya memotong beberapa kenderaan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda yang datang dari arah Tenghilan.
“Impak kemalangan menyebabkan mangsa maut akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala,” katanya.
Menurutnya pemandu kereta pacuan empat roda yang berumur 66 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan oleh penunggang motosikal yang membawa motosikal secara bahaya iaitu memotong beberapa kenderaan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.