Remaja Lelaki 13 Tahun Ditahan Kerana Menagih & Mengedar Syabu

Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Kota Kinabalu. – Gambar Ihsan PD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Usianya baru 13 tahun, tapi seorang remaja lelaki itu bukan sahaja menagih dadah malah berani menjadi pengedar dadah di sekitar pekan Inanam, di sini.

Kegiatan suspek itu dibongkar dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan turut menahan remaja terbabit semasa Ops Ice Breaker di kawasan tersebut, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata polis turut merampas beberapa peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu disyaki hendak dijual kepada pelanggannya di kawasan pekan berkenaan.

Remaja lelaki disyaki pengedar dadah ditahan polis dalam Ops Ice Breaker di pekan Inanam, Kota Kinabalu.- Gambar Ihsan PD Kota Kinabalu

Beliau berkata  remaja lelaki itu antara 12 individu yang ditahan dalam serbuan Ops Ice Breaker di tiga lokasi berasingan di bandar raya ini iaitu Kampung Air, Sinsuran dan sekitar pekan Inanam yang bermula 29 hingga semalam.

“Ketika remaja lelaki itu ditahan, dia sedang berurus niaga menjual dadah jenis syabu kepada pelangggan di sekitar pekan Inanam.

“Remaja warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 12 lagi individu disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) akta sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Sementara itu, Habibi berkata, sepanjang tempoh minggu kajian bermula 25 Januari hingga semalam juga, seramai 46 individu berjaya ditahan atas kesalahan menyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 29 individu adalah warga tempatan manakala 17 yang lain warga asing. Semua yang ditahan berusia 13 hingga 50 tahun. 

“Jumlah keseluruhan rampasan sepanjang tempoh itu sebanyak 13.48 gram syabu dianggarkan bernilai RM2,022 mengikut harga pasaran dadah semasa,” katanya.

Tambah Habibi, Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di dalam daerah ini.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *