Keselamatan Rakyat Sabah Lebih Penting Daripada Duit

Datuk Christina Liew

TAWAU: Keselamatan rakyat di negeri ini lebih menjadi keutamaan kerajaan negeri berbanding ‘buat duit’.

Demikian tegas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew, ketika diminta mengulas kekecewaan Duta China Ke Malaysia, Bai Tian, berhubung keputusan kerajaan negeri membatalkan semua penerbangan dari China ke negeri ini berkuasa kelmarin.

“Saya sendiri kecewa (pembatalan penerbangan) memandangkan pelancongan adalah sektor yang sangat menbantu untuk meningkatkan ekonomi negeri.

“Namun, apa yang berlaku sekarang, kita juga perlu mengambil tindakan sewajarnya, selari dengan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengiktiraf koronavirus sebagai  darurat kesihatan awam global,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Tambahnya, kerajaan negeri mempunyai alasan kukuh mengenai keputusan menghentikan sementara penerbangan dari China serta merta.

“Singapura pun sudah menghentikan penerbangan ke China, begitu juga dengan kemasukan menerusi Johor Bahru.

“Oleh itu, kerajaan negeri tidak mahu, hanya disebabkan tiada pembatalan sementara tersebut, penyakit (koronavirus) ‘masuk’ ke Sabah sehingga menjejaskan kesihatan awam,” katanya.

Menurut Christina, berikutan pembatalan penerbangan tersebut, kementeriannya menjangka berlaku penurunan bilangan pelancong ke negeri ini sebanyak 50 peratus, antara Januari dan Februari,” katanya.

“Saya yakin, Sabah akan menerima semula kenaikan jumlah pelancong asing memandangkan tindakan penyekatan penerbangan itu hanya sementara.

“Pihak kami juga sedang giat mempromosikan Sabah ke negara lain seperti India, Russia, Australia dan Eropah dalam usaha menjayakan Visit Malaysia 2020,” katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan ada menerima maklumat berkaitan penahanan terbaharu individu yang dikatakan  terkena jangkitan koronavirus di Hospital Besar Tawau, semalam.

“Ya, memang saya ada dapat maklumat itu.

“Namun, ia masih di peringkat siasatan dan rawatan, justeru saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan sekiranya belum mendapat maklumat sahih,” katanya.

Tambahnya, jika keputusan perubatan  mengesahkan positif koronova, maka orang ramai perlu berhati-hati dan mengamalkan langkah pencegahan lebih awal.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *