TAWAU: Lebih 700 orang membanjiri Jalan Chester, sempena Majlis Perasmian Chester Streets Night Market, di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew berkata, beliau berpuas hati dengan transformasi Jalan Chester yang kini menjadi tarikan budaya setiap kali menjelang musim perayaan.
“Sebaik datang ke sini, saya sendiri terkejut melihat hiasan di sini yang jauh berbeza dari sebelumnya.
“Seolah-olah saya berada di tempat lain dan bukannya di Jalan Chester yang biasa dilalui sebelum ini,” katanya kepada media semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan Chester Streets Night Market yang akan beroperasi setiap hari Jumaat dan Sabtu.
Menurut Christina, pihaknya yakin, Jalan Chester akan menjadi antara tarikan pelancongan pada masa akan datang.
“Usaha mempromosikan produk atau tempat menarik di Tawau perlu bermula dari sekarang.
“Malah saya yakin, Tawau mampu dan berpotensi menjadi bandar raya kedua di Sabah selepas Kota Kinabalu selepas mengambil kira kedudukannya yang bakal berhampiran dengan ibu negara baharu Indonesia,” katanya.
Christina berkata, sekiranya menjadi bandar raya pada masa akan datang bermakna ekonomi Tawau juga berkembang baik kerana terletak di antara dua bandaraya utama iaitu Kota Kinabalu dan ibu negara Indonesia.
Sementara itu, pada majlis perasmian tersebut orang ramai turut menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian singa, tarian naga, tarian unicorn dan nyanyian yang diadakan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Tinjauan Borneo Today mendapati MPT turut menjual penutup mulut dan hidung di situ dengan harga serendah RM0.50 sekeping kepada orang ramai.
Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir Amrullah Kamal, berkata, ia sebagai langkah pencegahan penularan penyakit berjangkit terutamanya coronavirus.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, pihak kami menggalakkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu walaupun masih belum ada kes coronavirus dilaporkan di Tawau,” katanya.
BorneoToday