Dijual Dua Kali Ganda Harga, 3,250 Unit Penutup Mulut Dan Hidung Dirampas

Georgie dalam sidang media di pejabatnya di Kota Kinabalu. – Foto KPDNHEP Sabah

KOTA KINABALU: Penutup mulut dan hidung menjadi laris bak ‘pisang goreng panas’ susulan penularan wabak koronavirus hingga ada peniaga mengambil kesempatan dengan menjual barangan itu lebih dua kali ganda pada harga asal.

Bagaimanapun kelicikan penjual yang melakukan kegiatan itu berakhir apabila tiga premis di sekitar daerah ini, Penampang dan Sandakan diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, kelmarin.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata pemeriksaan bermula pada 26 Januari lalu membabitkan sebanyak 130 premis di seluruh Sabah.

Georgie menunjukkan penutup mulut dan hidung yang disita kerana dijual dengan harga lebih dua kali ganda.-Foto KPDNHEP Sabah

Katanya hasilnya pemeriksaan itu mendapati tiga kes dikesan memanipulasi harga penutup mulut dan hidung bagi mendapat keuntungan yang terlebih hingga menjual lebih dua kali ganda pada harga asal.

“Ketiga-tiga kes ini dikesan di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan kerana menjual melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga.

“Ini membabitkan rampasan sebanyak 50 unit penutup mulut dan hidung jenis N95 dan 3,200 unit penutup mulut gelung telinga dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,935,” katanya dalam sidang media di pejabat KPDNHEP Sabah, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang diwartakan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) 2009.

“Sehubungan itu, semua penjual topeng muka sama ada di peringkat runcit mahupun pemborong diingatkan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga atau menyorok bekalan dengan niat untuk mengaut keuntungan.

Antara penutup mulut dan hidung yang dirampas – Foto KPDNHEP Sabah

“Kementerian tidak akan bertolak ansur mengenai perkara ini dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Georgie berkata semua pejabat cawangan KPDNHEP Sabah, menggerakkan pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis perniagaan di Sabah yang menjual penutup mulut dan hidung bagi memastikan mereka mematuhi harga.

“Pemeriksaan juga merangkumi pihak pembekal dan pemborong penutup mulut dan hidung bagi memastikan bekalan adalah mencukupi,” katanya.

Sementara itu, mengenai situasi bekalan di Kota Kinabalu, Georgie berkata hasil daripada pemeriksaan di peringkat peruncit dan pemborong, pihaknya membuat rumusan bahawa ketiadaan stok penutup mulut dan hidung kebanyakkannya membabitkan premis farmasi di kawasan tumpuan pelancong iaitu di Grand Plaza Mall, Jalan Gaya, Suria Sabah, dan Servay Hypermarket Inanam.

“Terdapat kira-kira 70,000 keping penutup mulut dan hidung biasa dalam milikan pemborong di Inanam, 1,000 keping di sebuah farmasi di tingkat tiga Suria Mall manakala kira-kira 2,600 keping di pelbagai premis di Centre Point. Stok yang agak banyak juga di sebuah premis di 1 Borneo.

“Pemborong terbabit sudah mula mengedarkan stok yang ada kepada peruncit sekitar Kota Kinabalu sejak semalam dan juga hari ini.

“Pegawai penguatkuasa akan membuat pemantauan susulan ke atas perkara ini. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *