TAWAU: Mayat seorang wanita dalam lingkungan umur 40an ditemui oleh orang awam di bangunan kosong di Jalan Sabindo, di sini kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.
Mangsa yang menjadikan bangunan kosong itu sebagai tempat tinggalnya lebih setahun lalu juga sudah dikenali oleh orang awam yang bekerja berhampiran bangunan berkenaan.
Menurut saksi, Fatika Daris, 34, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring ketika menghantar makanan kepada mangsa.
“Memang rutin harian saya akan menghantar makanan kepada mangsa tapi tadi waktu menghantar makanan keadaan mangsa sudah tidak bergerak walaupun saya sudah berusaha kejutkannya.
“Saya bergegas mendapatkan bantuan daripada rakan sekerja dan segera membuat panggilan kecemasan MERS 999 untuk melaporkan mengenai kejadian yang berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Fatika mendakwa mangsa selalu keluar berjalan meminta makanan daripada warung yang berdekatan semenjak suaminya ditangkap atas kesalahan Imigresen tahun lalu.
“Kondisi kesihatan mangsa sejak akhir-akhir ini juga sangat kritikal kerana menghidap penyakit kencing manis selain jari kakinya juga pernah dipotong disebabkan penyakit itu,” katanya.
Sehingga berita ini ditulis pada jam 3 petang, polis belum memberikan sebarang kenyataan berhubung kes terbabit.
Utusan Borneo