Kesihatan Rakyat Lebih Penting Daripada Pencapaian KPI

KOTA KINABALU: Kesejahteraan rakyat negeri ini adalah lebih penting daripada mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Menterinya Datuk Christina Liew berkata, ianya diutamakan berikutan dengan tindakan negara ini menghentikan pengeluaran visa kepada pelancong China khususnya dari Wilayah Wuhan serta Hubei akibat penularan wabak virus korona di negara berkenaan.

Pada Ahad lalu, kerajaan Persekutuan mengumumkan untuk menghentikan sementara mengeluarkan visa-visa kemasukan berkaitan kepada rakyat China dari Wuhan serta bandar-bandar di sekitar wilayah Hubei.

“Walaupun industri pelancongan negeri ini mampu bertahan berhadapan dengan beberapa wabak virus seperti SARS pada 2003 dan H1N1 pada 2009 sebelum ini, semuanya berjaya diatasi dengan kerjasama erat dari semua pemain industri pelancongan di sini.

“Kali ini kita tidak mahu mengambil risiko, saya juga sudah memaklumkan kepada semua hotel negeri ini untuk mengadakan saringan kesihatan dan menjaga kebersihan.

“Kepada pengusaha pelancongan khususnya untuk pelancong China yang sudah berada dalam negeri ini sebelum tindakan larangan perjalanan dikeluarkan, saya harap anda semua memantau kesihatan setiap pelancong anda,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, walaupun tindakan larangan perjalanan yang dikeluarkan akan menjejaskan prestasi kewangan syarikat masing-masing tetapi usaha itu tepat dan akan diteruskan berdasarkan keputusan kerajaan.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, dalam usaha mengawal penularan wabak virus korona di negeri ini, sejak 22 Januari lalu, Kementerian Kesihatan sudah menempatkan beberapa kaunter saringan kesihatan di ruangan ketibaan penerbangan antarabangsa ke Sabah.

Wabak virus konora menjadi tajuk utama laporan di seluruh dunia sejak penghujung tahun lalu yang mana kini ianya telah menyebabkan sebanyak 80 kematian dan sekurang-kurangnya 2,800 kes jangkitan di seluruh China.

Pada 23 Januari lalu, China turut menghentikan semua perjalanan rakyatnya pergi dan keluar dari Wuhan. Hari berikutnya negara itu turut mengenakan larangan perjalanan yang ketat terhadap tujuh lagi bandar utama di China.

Syarikat penerbangan negara ini juga membatalkan semua penerbangan mereka dari Wuhan ke Malaysia.

Utusan Borneo

841