Kabul: Sebuah pesawat dipercayai milik kerajaan Afghanistan, Ariana Airlines terhempas di wilayah Ghazni, menurut jurucakap kanan Afghanistan.
Jurucakap berkenaan, Arif Noori berkata, pesawat jenis Boeing itu terhempas di Sado Khel dalam kawasan Deh Yak di wilayah Ghazni sekitar jam 1.10 petang waktu tempatan hari ini.
Jumlah sebenar kematian akibat nahas pesawat jenis Boeing 737-400 itu belum dapat dipastikan.
Berdasarkan laporan awal media tempatan, pesawat berkenaan dipercayai membawa 83 penumpang.
Namun, terdapat percanggahan maklumat awal di pihak berkuasa tempatan berhubung jumlah penumpang dan destinasi pesawat serta lokasi pesawat itu berlepas.
Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ariana Airlines, Mirwais Mirzakwal menafikan pesawat syarikat penerbangan itu terbabit dalam kemalangan seperti yang didakwa oleh pegawai kerajaan Afganistan itu.
“Terdapat insiden pesawat terhempas tetapi bukan milik kami. Dua pesawat yang dikendalikan oleh kami iaitu dari Herat ke Kabul dan Herat ke Delhi (India) telah selamat mendarat,” katanya. – Reuters