Satu Lagi Kes Positif Coronavirus Di Malaysia

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu lagi kes positif coronavirus di Malaysia menjadikan keseluruhan sebanyak empat kes.

Kes ini tidak mempunyai kaitan dengan tiga kes positif yang telah dilaporkan hari ini.

KKM dalam satu kenyataan berkata, kes terbaru itu merupakan seorang lelaki 40 tahun berasal dari Wuhan, China yang tiba di Johor Bahru pada 22 Januari lalu dengan menaiki bas dari Singapura.

Lelaki itu datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya.

“Kes mula mengalami gejala demam pada 23 Januari 2020 dan keesokan harinya beliau telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran.

Beliau seterusnya telah dirujuk oleh pihak hospital swasta tersebut untuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Pada petang 25 Januari 2020, pihak Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif coronavirus,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancongan yang sama yang disertai oleh kes dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

“Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan coronavirus di MKAK Sungai Buloh.

“Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *