Pejalan Kaki Maut Dirempuh Ketika Melintas

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

PENAMPANG: Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Kota Kinabalu – Papar, dekat Kampung Meruntum, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa Arzilah Aliasan, 35, dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran lokasi kemalangan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika melintas jalan, sebuah kereta jenis Perodua Alza dipandu lelaki berusia 21 tahun gagal mengelak lalu terlanggar mangsa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata hasil siasatan awal mendapati pemandu Perodua Alza dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar, memandu di lorong kanan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba mangsa melintas dari kiri ke kanan jalan. Dalam jarak yang dekat, pemandu gagal mengelak lalu terlanggar mangsa.

“Pejalan kaki disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik HQE I untuk bedah siasat.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *