Filipina Dilapor Hantar Pulang Ratusan Pelancong China Balik Ke Wuhan

Pegawai penerbangan Filipina pada semalam menyatakan bahawa kira-kira 500 pelancong China dari Wuhan yang mendarat di Kalibo, Aklan akan dihantar pulang ke tempat asal mereka, lapor CNN.

Pengarah Eksekutif Lembaga Penerbangan Awam, Carmelo Arcilla, menyatakan bahawa pesawat daripada syarikat Royal Air Charter dan Pan Pacific Airline akan digunakan bagi menghantar pulang kesemua pelancong tersebut.

Kesemua mereka dilaporkan telah dipecahkan kepada tiga kumpulan untuk dihantar pulang.

Difahamkan, syarikat penerbangan Pan Pacific Airlines serta Royal Air Philippines sebelum ini telah menawarkan penerbangan terus dari Wuhan ke Kalibo.

Arcilla menegaskan bahawa syarikat penerbangan mempunyai kelulusan untuk menghantar pulang warga China itu kerana mereka adalah merupakan penduduk Wuhan.

Pegawai Kesihatan Daerah, Cornelio Cuachon semalam menyatakan, seramai 135 orang warga China dilaporkan tiba di Filipina sebelum pengumuman mengenai penggantungan penerbangan dari dan ke Wuhan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan.

Walau bagaimanapun, tiada warga China yang dikuarantin dan dirujuk ke hospital kerana tidak menunjukkan simptom dijangkiti koronavirus tersebut.

Sumber: The Standard/CNN

3314