“Wuhan Bertukar Jadi Bandar Berhantu” – Penduduk

Dalam pada kebimbangan masyarakat dunia terhadap koronavirus, seorang individu di Wuhan menyifatkan bandar itu telah bertukar menjadi sebuah bandar ‘berhantu’.

Wuhan telah terputus dari negara luar dalam usaha untuk menyekat penyebaran koronavirus.

Kesemua 17 kematian yang dikaitkan dengan virus itu telah berada di wilayah Hubei dan telah menjangkiti hampir 600 orang.

Datuk bandar, Zhou Xianwang, mendesak 11.8 juta penduduk supaya tidak meninggalkan ibu kota wilayah Hubei di China Tengah dan menyeru pelawat untuk mengelakkan diri dari tempat itu bagi mengurangkan penyebaran virus.

“Sekiranya tiada keperluan, kami mencadangkan agar orang ramai tidak datang ke Wuhan,” kata Zhou kepada saluran berita CCTV.

Naib Menteri Kesihatan Kebangsaan, Li Bin juga berkata bahawa adalah lebih baik jika orang ramai tidak memasuki Wuhan kecuali ianya sangat memerlukan.

Dengan bilangan kes yang disahkan bertambah setiap hari, penduduk Wuhan juga harus mengelakkan diri dari kawasan awam dan hanya mendiami rumah.

Beberapa video di laman Twitter juga menunjukkan bahawa bandar dipercayai Wuhan benar-benar telah kosong tanpa pergerakan orang awam mahupun pengangkutan di jalan raya.

Penularan virus itu juga memperlihatkan penduduk menyerbu pasar raya dan kedai-kedai bagi mendapatkan bekalan makanan kerana bimbang ia tidak mencukupi dalam fasa kuarantin di kediaman masing-masing.

Pasukan petugas berkata dalam satu kenyataan bahawa Wuhan mempunyai bekalan makanan, perubatan dan komoditi yang mencukupi.

Pun begitu, orang ramai masih bimbang kerana tidak pasti bila kedai-kedai akan beroperasi seperti biasa.

Sumber: The Standard, CNN, Twitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *