‘Aunty Grab’ Mahu Rehat Panjang

Susan bersama anggota polis D9 IPK Sabah ketika di rumahnya di Likas, Kota Kinabalu .

KOTA KINABALU: Walaupun sudah 18 hari berlalu, Liew Hen Wah @ Susan, 60, masih trauma serta tidak mampu melupakan peristiwa dia disamun sehingga hampir meragut nyawanya pada 7 Januari lalu.

Dalam kejadian yang turut menjadi tular di media sosial itu, Susan cedera parah di bahagian kepala dan muka sebelum ditinggalkan di tepi jalan Kampung Gana, Kinarut dalam keadaan mukanya berdarah.

Dia yang ditemui di rumahnya bersama pasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Likas berkata, sehingga kini dia masih sering teringat-ingat detik hitam berkenaan.

“Selepas kejadian itu, saya mengambil keputusan untuk berehat panjang daripada menjadi pemandu grab.

“Saya masih terkesan dengan kejadian itu walaupun sudah beransur pulih,” katanya.

Menurutnya, dia amat bersyukur dapat bersama anak dan cucu, lebih-lebih lagi tahun baharu cina yang akan disambut esok.

“Syukur saya dapat lagi meraikan tahun baru cina bersama keluarga tahun ini. Saya juga amat berterima kasih kepada orang ramai dan anggota polis yang banyak membantunya selepas kejadian itu.

“Ucapan terima kasih kepada semua pihak atas bantuan yang diberikan ketika kejadian itu. Sebagai tanda terima kasih saya menjemput anggota polis (D9) ke rumah sebagai tanda terima kasih atas usaha mereka menyelesaikan kes berkenaan,” katanya.

Pihak polis yang menjalankan siasatan berikutan kejadian itu berjaya menemui kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa, selepas menerima maklumat daripada orang ramai di Taman Mook Ideal, Kinarut, kira-kira 7 malam.

Pada 9 Januari, akhirnya suspek lelaki berusia 22 tahun berjaya ditahan polis D9 IPK di sekitar Kota Kinabalu.

Suspek yang bekerja sebagai konduktor bas berusia 22 tahun dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, pada 15 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh denda atau denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 30 Januari untuk pengurusan kes dan menawarkan jaminan Isyak sebanyak RM6,000 dalam dua penjamin.

BeritaSabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *