60 Hilang Tempat Tinggal Rumah Terbakar Di Lahad Datu

LAHAD DATU: Lebih 60 penduduk kehilangan rumah selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sapagaya, Batu 3, Jalan Silam, di sini, petang semalam.

Kejadian pada pukul 5.30 petang itu membabitkan sebuah rumah panjang lapan pintu jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya akibat terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan media mengesahkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.43 petang.

“Sepasukan anggota bomba bergegas  ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada 10.35 malam tadi,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan lima buah rumah hangus selepas terbakar di Kampung Bumiputera, Jalan Silam, malam tadi.

Pihak JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.46 malam, sebaik sahaja kebakaran pertama di Batu 3, selesai.

“Api berjaya dipadam pada 11.25 malam manakala operasi tamat sepenuhnya pukul 1.43 pagi tadi.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam dua kejadian tersebut dan pihak bomba masih menyiasat punca serta jumlah kerugian yang ditanggung mangsa,” kata JBPM.

BorneoToday