Pegawai Imigresen Cedera Dibaling Batu Selepas Solat

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pegawai Imigresen cedera selepas dibaling batu sebaik selesai menunaikan solat Zohor dalam kejadian di pintu pagar hadapan Masjid Usia, Bandaran Berjaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, pegawai Imigersen terbabit ditegur seorang lelaki yang tidak dikenali dalam keadaan marah selepas selesai solat Zohor di Masjid berkenaan.

Mangsa lelaki berusia 45 tahun kemudian tidak mengendahkan kerana tidak memahami apa yang dikatakan oleh suspek dan terus berjalan.

Secara tiba-tiba suspek datang dari arah belakang mangsa lalu menjerit dan apabila mangsa menolah, suspek yang memegang sebiji batu terus membaling ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa tidak sempat mengelak dan mengenai tangan kirinya.

“Mangsa bersama jemaah masjid yang turut berada di lokasi itu kemudian menahan suspek sebelum menghubungi polis.

“Siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek dan tidak mengetahui punca suspek bertindak sedemikian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata hasil siasatan mendapati suspek selalu dilihat bersembahyang dan tidur di masjid berkenaan sebelum ini.

“Mangsa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I(HQE I) dan cedera di siku tangan kirinya.

“Polis turut merampas batu yang digunakan oleh suspek dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 32 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

SabahNewsToday

1671