13 Individu Dikompaun Merokok Di Lapangan Terbang

Warga asing yang dikenakan kompaun merokok di kawasan LTT.

TAWAU: Seramai 13 individu dikenakan kompaun atas kesalahan merokok di kawasan Lapangan Terbang Tawau (LTT) dalam operasi rokok kerjasama antara keselamatan LTT dan Jabatan Kesihatan Malaysia, di sini.

Pengurus LTT Hasbi Mohd Said berkata, operasi bersepadu ini untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang keperluan menjaga kesihatan dan sentiasa mengikuti peraturan semasa berada di lapangan terbang.

“Walaupun operasi ini sentiasa diadakan diantara keselamatan LTT dan Jabatan Kesihatan Malaysia tetapi sehingga kini kesedaran larangan merokok masih kurang di kalangan pengguna LTT,” katanya.

Ab Jal mengeluarkan notis kompaun kepada warga tempatan.

Beliau berkata demikian semasa operasi bersepadu rokok antara keselamatan LTT dan Jabatan Kesihatan Malaysia, di sini.

Katanya, data kompaun rokok di LTT yang diterima pada tahun 2019 menunjukkan sebanyak 251 notis kompaun dikeluarkan iaitu 137 warga tempatan dan 114 warga asing.

“Tahun ini pula, setakat hari ini (semalam) sebanyak 51 notis kompaun dikeluarkan iaitu melibatkan 27 warga tempatan dan 24 warga asing,” katanya.

Menurutnya, seluruh kawasan LTT merupakan kawasan larangan merokok termasuk di tempat letak kenderaan dan taman bunga. Pihak LTT juga sudah meletakkan papan tanda larangan merokok yang secukupnya memandangkan di kawasan LTT tidak mempunyai zon larangan merokok.

“Dalam masa dua hari lagi, kita juga akan membuat penambahan papan tanda larangan merokok di kawasan tumpuan orang ramai seperti di taman-taman bunga dan kawasan tempat letak kenderaan manakala di balai ketibaan juga kita akan letakkan satu papan tanda yang besar,” katanya.

Hasbi berharap pengguna LTT sentiasa peka dengan peraturan-peraturan yang sudah ditetapkan oleh pihak LTT dan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tidak merokok di kawasan yang diwartakan sebagai lapangan terbang.

Utusan Borneo

2751