SANDAKAN: Seramai 309 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir pulang ke negara asal menerusi Program Pengusiran Siri Keenam Tahun 2020, hari ini.
Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua PATI itu dihantar ke Filipina menerusi jalan laut.
“Ini menjadikan seramai 1,132 orang PATI berjaya diusir bermula 7 Januari lalu sehingga hari ini.
“Berdasarkan rekod, jumlah keseluruhan PATI yang telah diusir keluar dari Sabah mencecah 592,123 orang sejak tahun 1990,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, jumlah itu termasuk PATI yang diusir menerusi pengangkutan udara membabitkan negara lain yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“MKN terus komited menjalankan tugas termasuk mengusir PATI di Sabah dari masa ke semasa.
“Selain itu, sekalung penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam membantu menjayakan proses pengusiran PATI,” katanya.
Menurut Sh Sitti Saleha, ia adalah tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat Sabah kepada MKN dan pihak berkuasa lain dalam menangani kebanjiran PATI.