Sumbar Rokok Seludup Dalam Kancil

Suspek ditahan bersama 1,570 bungkus rokok seludup oleh Pasukan Polis Marin. Gambar Ihsan PPM

LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Jalan Agaseh di Lahad Datu, hari ini selepas pemeriksaan ke atas Perodua Kancil dipandunya sarat dengan rokok seludup.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek warga tempatan berusia 29 tahun itu menemukan 1,570 bungkus rokok seludup.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil maklumat yang diterima sepasukan anggota dikerah ke lokasi bagi mengesan suspek.

Menurutnya, sebaik anggota PPM tiba suspek yang sedang berada dalam kenderaan mencurigakan itu ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 1,570 bungkus rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai anggaran RM97,100 ditemukan.

“Suspek ditahan dan kenderaan itu dirampas sebelum dibawa ke Markas PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan mencecah RM104,100.

“Bagaimanapun, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, suspek itu boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang seludup atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *