PRK Kimanis: Keputusan Penuh Dijangka Jam 10 Malam

Petugas-petugas SPR membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Sderi Panglima Mohd Dun Banir, di Beaufort.

KIMANIS: Keputusan penuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga akan membawakan perkembangan keputusan tidak rasmi dari semasa ke semasa selepas pengiraan undi tamat di setiap saluran mengundi.

“Di jangka keputusan dapat diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam tetapi kita akan siarkan keputusan tidak rasmi dari semasa ke semasa selepas pengiraan undi tamat di setiap saluran dan borang 14 ditandatangani semua pihak yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Program Semakan Isi Peti Undi dan Agihan Peralatan Mengundi kepada Ketua Tempat Mengundi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort hari ini.

Azhar berkata, jumlah petugas SPR yang akan bertugas esok seramai 650 orang.

“Seramai 29,618 pengundi akan menunaikan tanggungjawab itu di 68 saluran mengundi membabitkan sebanyak 19 pusat mengundi.

“Kita akan membuka pusat pengundi lebih awal iaitu pada 7.30 pagi esok,” katanya.

Sehubungan itu, Azhar meminta pengundi dapat keluar lebih awal dan tidak berlengah untuk mengundi.

“Saya juga menyeru kepada penyokong supaya berhenti untuk berkempen pada 12 tengah malam ini dan tidak dibenarkan memakai baju logo parti dan gambar calon dalam kawasan 100 meter dari pusat mengundi.

“Begitu juga acara kempen patut dihentikan pada 12 tengah malam ini…bukan sahaja di kawasan ini tetapi di media sosial,” katanya.

Menurutnya, penyokong kedua-dua parti yang bertanding diminta supaya tidak membuat sebarang provokasi antara satu sama lain.

“Saya percaya rakyat Sabah tidak berbuat demikian kerana mereka lebih matang dan harap perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Harian Metro