Pakatan Harapan Salur Peruntukan Lebih Besar Buat Sabah

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Arif ketika ditemui pada santai mesra bersama rakyat di Kampung Baitam baru, Kimanis, hari ini.

MEMBAKUT: Sabah menerima peruntukan lebih besar selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran dengan RM4.25 bilion peruntukan pembangunan disalurkan pada belanjawan tahun ini berbanding hanya RM3 bilion ketika era Barisan Nasional (BN).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menjelaskan peruntukan yang sudah diluluskan sebelum ini adalah dana pembangunan disalurkan kementeriannya.

“Peruntukan RM4.25 bilion ini adalah dana pembangunan. Dalam belanjawan, kita ada peruntukan operasi, belanja mengurus dan belanja untuk pembangunan. Belanja mengurus itu di bawah Kementerian Kewangan.

“Belanja pembangunan adalah untuk projek infrastruktur, di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kita mahu Sabah mendapat peruntukan lebih besar kerana negeri ini memerlukan lebih banyak peluang.

“Justeru, peruntukan pembangunan bagi Sabah dinaikkan kepada RM4.25 bilion bagi 2020,” katanya kepada media pada Majlis Kupi-Kupi Bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Kampung Pimping, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Arif.

Mohamed Azmin berkata, peningkatan peruntukan pembangunan untuk Sabah adalah selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang memberi tumpuan kepada enam negeri kurang membangun, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Ini bukan kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis. Perkara ini telah dibincang, dibahas dan diluluskan oleh Parlimen berbulan lalu, sekarang ini adalah soal pelaksanaan.

“Kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan saya percaya kerjasama yang baik ini akan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Berita Harian

629