Polis Tahan Peserta Himpunan Bantahan PSS

Anggota polis memegang parang replika dan membawa lelaki terbabit keluar dari perhimpunan untuk siasatan.

MEMBAKUT: Tindakan seorang lelaki membawa parang kayu ketika hadir Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Aman Pas Sementara Sabah (PSS) di pekan lama di sini, pagi tadi membawa padah apabila dia ditahan polis.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan anggota polis yang berkawal menjaga keselamatan selepas melihat suspek dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, hasil pemeriksaan awal menemui parang di pinggangnya dengan dililit tali.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ia parang kayu, bukan senjata tajam dan memberi alasan parang itu untuk persembahan.

“Namun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti motif tindakan lelaki itu,” katanya ketika ditemui di lokasi perhimpunan, hari ini.

Mengulas mengenai perhimpunan itu, Azmir berkata, keadaan terkawal dan peserta serta penganjur mematuhi arahan polis untuk bersurai selaras dengan pematuhan permit iaitu berhimpun selama dua jam. Terdahulu, himpunan berkenaan disertai kira-kira 600 peserta yang rata-ratanya memakai baju berwarna hitam dengan logo ‘Tolak PSS’.

Himpunan yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu dianjurkan oleh sebuah Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat Sabah (PIPA) dan Sorak Sabah.

Hadir sama perhimpunan itu adalah Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin dan beberapa pemimpin pembangkang iaitu Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai.

Difahamkan, beberapa sekatan jalan turut dijalankan oleh anggota polis yang menyaksikan laluan masuk ke pekan Membakut mengalami kesesakan teruk sejak jam 7 pagi.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Azmir berkata, polis sudah membuka lapan kertas siasatan setakat ini.

“Sekarang ada lapan kertas siasatan sudah dibuka membabitkan kesalahan pilihan raya, sogokan yang lain kebanyakannya memusnahkan poster dan kata-kata menghasut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *