Karim Mahu Bangunkan Kimanis Sebagai Hab Industri Sarang Burung Walit

KIMANIS, 15 Jan: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Datuk Karim Bujang mempunyai wawasan dan perancangan besar bagi membantu menjana pendapatan penduduk kawasan itu sekiranya diberikan mandat pada 18 Jan ini.

Beliau melihat industri pengumpulan sarang burung walit berpotensi untuk dibangunkan di kawasan itu yang mempunyai keadaan geografi kondusif bagi industri tersebut. 

Karim yang merupakan individu terawal belajar dan membina sarang burung walit di Sabah sebelum ini, berkata kelebihan bentuk muka bumi itu serta bantuan dan sokongan daripada kerajaan mampu menjadikan Kimanis sebagai hab pengumpulan sarang burung walit di Sabah. 

Beliau berkata industri itu boleh disertai oleh sesiapa sahaja berminat terutamanya petani yang mempunyai kawasan tanah tidak digunakan. 

“Industri ini juga tidak memerlukan pelaburan banyak tetapi mungkin dikatakan mahal disebabkan oleh bahan binaan digunakan, tetapi di sesetengah kawasan seperti Pitas dan Kanibongan, rumah sarang burung walit diperbuat daripada bahan-bahan binaan agak murah dan mereka rata-rata berjaya. 

“Ada juga rumah sarang burung walit yang dibina di antara pokok-pokok getah dan sementara mereka menunggu getah itu besar mereka boleh mengutip hasil daripada rumah sarang burung walit berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Sementara itu, Karim berkata rancangan untuk membangunkan industri ini bukanlah satu perkara baharu kerana ia telah dimulakan kerajaan terdahulu, tetapi tidak berjaya. 

Beliau berkata sebarang usaha untuk membangunkan industri itu haruslah dimulakan dengan membuat kajian bagi memahami pergerakan burung tersebut. 

“Sebelum kita ingin meneruskan bantuan membina rumah sarang burung walit itu, kita perlu membuat kajian dengan lebih awal sama ada burung itu ada di sana atau tidak,” katanya. 

PRK Kimanis pada Sabtu ini, bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN). 

Warisan mempertaruhkan Karim, 67, manakala BN meletakkan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon. 

BERNAMA

310