Kalendar Guna Logo Kitar Semula Kerana Tulisan Jawi Ada Kesilapan

TAWAU: Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Tawau (PKPT) menjelaskan tindakan menggantikan tulisan jawi kepada logo kitar semula dalam gambar kalendar khas yang dikeluarkan pejabat itu adalah disebabkan berlaku kesalahan ejaan dan sebutan.

PKPT dalam satu kenyataan berkata, penggunaan logo kitar semula itu telah diusulkan dan mendapat kelulusan daripada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Datuk Ir Amrullah Kamal.

Penjelasan tersebut dibuat selepas netizen mempersoalkan mengenai penggunaan logo kitar semula itu kerana pada asalnya gambar yang sepatutnya dicetak pada kalendar itu mempunyai tulisan jawi yang membawa maksud ‘Tawau’.

Lukisan tersebut asalnya merupakan karya pemenang dalam pertandingan melukis sempena Kempen Gotong Royong Mega anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P190 Tawau Bersama MPT pada 23 November lalu yang dicetak pada kalendar itu sebagai penghargaan kepada pelukisnya.

“Pemenang bagi setiap lukisan itu diberikan keistimewaan yang mana hasil kerja mereka akan dicetak pada poster kalender yang dikeluarkan PPKT untuk tahun ini.

“Tindakan menukar tulisan jawi itu diusulkan selepas terdapat kesalahan ejaan dan sebutan, justeru atas usul dan syor daripada Presiden MPT, kami mengambil pendekatan untuk meletak logo kitar semula yang ada kaitan dengan kempen mega gotong-royong pada masa itu,” kata pejabat itu di dalam laman sosial Facebook Rasmi PKPT.

Tindakan itu bagaimanapun menarik perhatian netizen apabila gambar kalender tersebut dimuat naik di laman sosial sehingga ada yang mempersoalkan intergriti Parlimen Tawau terhadap tulisan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap PKPT berkata, pihaknya turut memohon maaf atas salah faham yang berlaku dan berharap pihak luar tidak menjadikan isu tersebut sebagai modal untuk memecahbelahkan perpaduan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih berdegil menggembar-gemburkan isu itu sehingga boleh merosakkan perpaduan kaum,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Landskap Negara (JLN) berkata, penggunaan huruf jawi itu pada arca yang terdapat di bandar itu yang diadaptasi dalam lukisan berkenaan telah dipersetujui antara pihaknya dan MPT sebelum diletakkan di Jalan Pesisir Pantai.

Menurutnya tidak timbul isu tulisan itu salah memandangkan dalam mesyuarat awal yang dilakukan sebelum ini, acra itu telah dipersetujui semua pihak termasuk Presiden MPT ketika itu.

“Malah, JLN sendiri mengambil inisiatif menghubungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapat kepastian sama ada penggunaan tulisan jawi itu salah daripada segi hukum agama.

“Dalam maklum balas yang diterima, Jakim mengesahkan tidak salah  memandangkan ia digunakan dalam binaan mercu tanda sahaja selain meminta kami merujuk kepada Mufti Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka mengenai ejaan tersebut,” katanya.

Tambahnya, reka bentuk arca itu dibuat oleh arkitek JLN untuk mencari keunikan yang mampu menarik perhatian orang ramai khususnya pelancong sekali gus menjadi mercu tanda Tawau.

Tambahnya, pihak MPT boleh menukar tulisan jawi pada arca berkenan sebaik sahaja tempoh kontrak bersama JLN tamat.

“Namun semua kos itu perlu dibiayai oleh MPT sendiri,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *