PGA Rampas Rokok Kretek Bernilai Lebih RM300,000 Di Beluran

Gambar Ihsan Pasukan Gerakan Am Beluran

SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun ditahan manakala dua yang lain melarikan diri selepas dikesan terbabit dalam pemilikan 17,250 bungkus rokok kretek di Lorong Villa, Permai Jaya 2, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, polis turut merampas tiga kenderaan iaitu sebuah lori dua tan, Proton Saga dan Iswara menjadikan nilai rampasan keseluruhan mencecag RM380,000.

Gambar Ihsan Pasukan Gerakan Am Beluran

Pegawai Pemerintah Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota dan pegawai dari Platoon Tiger diketuai Inspektor Vernon Bidder ke lokasi berkenaan selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi terdapat tiga lelaki sedang memunggah beberapa kotak berwarna coklak dari sebuah lori ke dua kenderaan lain iaitu Proton Saga dan Iswara.

Gambar Ihsan Pasukan Gerakan Am Beluran

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, ketiga-tiga individu itu bertindak melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, seorang daripada suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

Mohd Nasaruddin berkata, selepas ditahan pihaknya menemui wang tunai sebanyak RM4,302 pada poket pakaian yang dipakai suspek.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas kenderaan terbabit sebelum membawa penemuan rokok kretek dipercayai diseludup dan tanpa cukai.

“Semua barangan tersebut, kenderaan dan suspek diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

BorneoToday

407