TAWAU, 13 Jan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Tawau merampas 17kg dadah jenis syabu dianggar bernilai RM2.5 juta di pesisir pantai Batu Payung dekat sini dua hari lepas.
Pengarah Maritim Zon Tawau Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata dadah itu ditemukan oleh sepasukan bot ronda Maritim yang sedang melakukan rondaan Operasi Pluto Timur di perairan Tawau pada kira-kira pukul 8.45 malam.
Beliau berkata dalam operasi itu, bot peronda Maritim mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan di kedudukan kira-kira 2.6 batu nautika di tenggara pantai Batu Payung, lalu mengekorinya selama lima minit sebelum kehadiran mereka disedari, dan bot laju itu kemudiannya terus memecut ke tengah laut.
Menurutnya pada masa sama anggota Maritim turut terlihat dua lelaki di pesisir pantai berkenaan dalam keadaan mencurigakan, namun kedua-dua mereka itu terus melarikan diri semasa didekati, dan pemeriksaan di lokasi itu membawa kepada penemuan satu bungkusan berwarna kuning mengandungi sebuah beg berisi 17 paket plastik hitam.
“Siasatan lanjut mendapati setiap paket plastik hitam itu mengandungi bungkusan yang dibaluti plastik teh Cina, dan selepas bungkusan teh Cina itu dibuka, ia didapati mengandungi satu lagi bungkusan lutsinar yang berisi dadah dipercayai syabu,” katanya pada persidangan akhbar mengenai kes itu di sini hari ini.
Siva Kumar berkata tiap satu paket plastik hitam itu dianggar seberat satu kilogram, dan menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
BERNAMA