Pasar malam Chester beri kelainan kepada pengunjung
TAWAU: Pasar malam Chester bakal menjadi produk pelancongan terbaharu di daerah ini dan mampu menyaingi pasar-pasar malam lain yang terdapat di sekitar Malaysia.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Jimmy Wong Sze Phin berkata, pasar ini memberikan satu kelainan kepada pengunjung kerana menempatkan hiburan yang terbaik bermula daripada golongan kanak-kanak sehingga dewasa.
“Kelainan yang ditonjolkan di pasar ini dilihat dengan wujudnya sudut-sudut permainan kanak-kanak, pentas busker, kraftangan etnik Sabah dan menyediakan makanan tradisional serta antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis pra perasmian pasar malam Chester dan ‘Tawau talent showcase’ di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pasar malam ini juga menjadi satu tempat pameran perayaan-perayaan yang disambut sepanjang tahun ini.
“Kita akan menghias sepanjang pasar ini dengan tema-tema perayaan yang akan diraikan dan pengunjung boleh mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar suasana perayaan yang dihias oleh pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT),” katanya.
Jimmy berkata, keunikan pasar ini juga dilihat dengan memperkenalkan dua pintu masuk iaitu ‘East gate’ dan ‘West gate’ yang pertama kali dibuat di negeri ini.
“Pihak MPT telah mencadangkan untuk pembinaan gerbang besar sebagai laluan masuk kedua-dua arah itu dan cadangan itu akan dipertimbangkan mengikut kemampuan pihak kerajaan.
“Saya mengarahkan supaya menunjukkan pelan dan anggaran kos pembinaan gerbang berkenaan dan sekiranya ianya berbaloi untuk menarik pelancong datang ke pasar ini, pihak kerajaan tidak teragak-agak untuk meluluskannya,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Sri Tanjong berkeyakinan pasar malam ini akan menjadi salah satu produk pelancongan daerah dan mampu menarik perhatian para pelancong untuk datang ke Tawau, bukan sahaja ke Semporna.
“Selain dapat merancakkan sektor pelancongan daerah sepanjang tahun ini, ianya juga banyak membantu warga Tawau dalam menjana pendapatan masing-masing.
“Harapan saya supaya segala usaha ini dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi daerah sejajar dengan harapan kita dalam membangunkan daerah Tawau khasnya,” katanya.
Presiden MPT Datuk Amrullah Kamal mengalu-alukan semua penjaja untuk bersama-sama meramaikan lagi pasar malam ini supaya dapat mencapai matlamatnya.
“Tapak di pasar ini hanya menempatkan 419 ruang sahaja dan 269 daripadanya sudah terisi. Jangan teragak-agak untuk menempah tapak di pasar ini kerana ianya akan menjadi satu tempat kunjungan yang popular sedikit masa lagi,” katanya.
Beliau berkata, ledakan demografi daripada pemindahan ibukota negara Indonesia akan memberikan satu pergerakan populasi yang mana daerah ini ingin mendapatkan ekonomi itu daripada mereka.
“Buat masa ini, penerbangan Royal Brunei Airlines sudah mendarat di daerah ini, sudah pasti pelancong daripada negara itu akan datang ke daerah ini, begitu juga dengan kebanjiran rakyat China yang ada sekarang memberikan kelebihan untuk daerah ini.
“Kita mahukan setiap penjaja memberikan keunikan setiap produk mereka supaya dapat memberikan buah tangan dan buah mulut setiap pelancong yang datang,” katanya.
Amrullah berkata, kebersihan pasar ini menjadi keutamaan dan kita sudah pun menyediakan tiga buah tandas awam yang akan dipantau tahap kebersihannya dari semasa ke semasa.
“Begitu juga tahap keselamatan, kita sudah bekerjasama dengan pihak Polis DiRaja Malaysia untuk memantau keadaan di pasar ini serta mengadakan ‘Ops Payung Bersepadu’ supaya keselamatan sentiasa terjamin,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Presiden MPT Koh Kian Leong, Ahli-ahli Majlis, pegawai MPT dan wakil-wakil daripada PDRM, KKM, Penerangan serta SESB.
Utusan Borneo