KIMANIS: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal harus menyalahkan dirinya sendiri berbanding orang lain memandangkan pernah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar suatu ketika dahulu.
Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata demikian ketika menjawab dakwaan yang dilemparkan Ketua Menteri Sabah itu berhubung kegagalan pemimpin terdahulu, termasuk ayah Najib sendiri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien, dalam membangunkan negeri Sabah.
“Dia tak boleh salahkan orang lain, waktu dia jadi menteri luar bandar diluluskan satu peruntukan yang besar, saya dimaklumkan lebih kurang RM35 bilion telah diletakkan sepanjang tempoh jadi menteri luar bandar.
“Apa alasan dia bila projek Lebuhraya Pan Borneo terbengkalai hari ini; itu diluluskan kerajaan Persekutuan untuk rakyat Sabah. Sepatutnya Pan Borneo sudah siap hari ini kalau BN berkuasa,” katanya.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kempen ceramah Bossku di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam, Kalatuan, Kimanis, malam tadi.
Hadir sama adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan calon BN PRK Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.
Sebelum ini, dalam beberapa kenyataan media, Mohd Shafie menempelak pemimpin BN yang sering menyalahkannya kerana gagal membangunkan Sabah ketika menjawat jawatan penting dalam kabinet dahulu.
Awani Online