KIMANIS: Di sebalik ketegangan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) bersaing sesama sendiri untuk memenangi hati rakyat di Kimanis, kedua-dua parti bersatu menerusi sebuah lagu.
Lagu dendangan asal penyanyi tempatan Sabah, Thomas Intiang bertajuk ‘Pembayaran Ansur-Ansur’ diubah suai untuk dijadikan lagu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis untuk kedua-dua parti.
Namun, Warisan dilihat terlebih dahulu menggunakan lagu itu sebagai lagu kempen sejak hari pertama berkempan bagi menarik perhatian pengundi Kimanis.
Antara bait-bait lirik yang diubah suai dan boleh menarik perhatian pengundi adalah seperti:
Kalau mahu senang,
Undilah Warisan,
Kalau mahu maju,
Undilah Karim Bujang
Undilah Parti Warisan.
Lagu kempen Warisan itu diubah suai oleh artis tempatan Sabah, Abu Bakar Ellah (Ampal) dengan kerjasama Francis Landong. Idea itu diilhamkan oleh Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony.
Manakala, BN dan PBS dilihat baru memulakan kempen dengan menggunakan lagu yang sama pada hari ini, juga dengan lirik yang telah diubah suai.
Biarpun idea lagu itu dimulakan oleh Warisan, namun BN dan PBS berusaha menggunakan pendekatan sama dan mengubah lirik asal lagu ‘pembayaran ansur-ansur’ itu. PBS merupakan rakan kerjasama BN dalam PRK Kimanis.
Dalam lagu kempen yang digunakan PBS bermula hari ini, lirik yang diubah suai dari lagu asal itu berbunyi seperti:
Kalau bukan kerana Barisan,
Jangan mimpi ada perubahan,
Bukan macam orang sebelah,
Hanya janji janji dicapati,
Undilah Mohamad Alamain.