Sabah Bakal Lancar Minyak Masak Jenama ‘Sabah Best’ Tahun Ini

KIMANIS: Pengeluaran minyak masak jenama tempatan ‘Sabah Best’ yang diusahakan oleh Sawit Kinabalu Sdn Bhd dijangka akan mula dipasarkan bermula tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, minyak masak jenama tempatan itu sudah siap dipakejkan dan kini hanya menunggu masa untuk dilancarkan sahaja.

Beliau berkata, kilang memproses minyak masak ini masing-masing ditempatkan di Tawau dan Sandakan.

Katanya, inisiatif mengeluarkan minyak masak dengan menggunakan minyak sawit mentah (CPO) itu dilakukan bagi membolehkan masyarakat kampung dapat memperolehi minyak masak dengan harga yang lebih murah.

“Bila saya membuat lawatan ke kampung-kampung, saya dapati orang kampung tidak mampu untuk membeli minyak dalam botol. Jadi, penjual yang ada masukkan minyak dalam plastik kecil dan jual pada harga 10 sen, 15 sen.

“Atas sebab itu, saya minta supaya minyak masak yang dikeluarkan ini diberi subsidi agar mereka mampu membelinya.

“Sampel minyak berjenama ‘Sabah Best’ ini sudah ada. Diharapkan tahun ini kita dapat melancarkannya,” katanya dalam sidang media selepas Karnival Kerjaya Kimanis 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata, apabila minyak masak ini dikeluarkan, ia bukan hanya memberi manfaat kepada pengilang tetapi juga kepada pembekal, pengedar, penyedia khidmat pengangkutan. Ada rantaian yang terlibat dalam proses pengeluaran ini.

Menyentuh mengenai pembinaan kilang pemprosesan gas asli cecair (LNG) di Kimanis, Mohd Shafie berkata, beliau sudah berbincang tentang perkara itu dengan Petronas dan dalam tahun ini, beberapa usaha akan dilakukan.

Katanya, beliau mahu hasil minyak dan gas yang ada di Sipitang ini dibangunkan secara hiliran agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *