PSS Tidak Dilaksanakan Sesuka Hati Tanpa Mengambil Kira Kepentingan Rakyat Sabah

Darell (tengah) menyaksikan tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Presiden Persatuan Gelsoft Sabah Ar George Tann Junior (kanan) dan Ketua Pegawai Antarabangsa Gelsoft Australia Siva Sara (kiri).

KOTA KINABALU:Pas Sementara Sabah (PSS) tidak sewenang-wenangnya dilaksanakan di negeri ini sebelum mengambil kira secara terperinci pendekatan kerajaan terbabit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat di negeri ini sebelum bersetuju untuk melaksanakan perkara tersebut.

Darell (dua kanan) meninjau pameran Gelsoft blaster pada majlis itu.

“Kini, PSS masih di peringkat cadangan dan belum dibawa ke mesyuarat Kabinet Persekutuan. kita juga masih menunggu perbincangan dari pihak kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Dalam Negeri(KDN) mengenai hal ini.

“Kita di Sabah sampai hari ini masih belum ketahui apa maklumat terperinci berkenaan PSS, kita hanya tahu sedikit sahaja,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Gelsoft Sabah, di sini pada Sabtu.

Jelasnya, perkara penting adalah Kerajaan Pusat perlu mengadakan kerjasama erat dengan Kerajaan Sabah bagi membincangkan perkara itu secara lebih terperinci.

Menurutnya, PSS merupakan pendekatan penyelesaian yang ditambah baik oleh Kerajaan pada hari ini. Ianya diilhamkan oleh kepimpinan kerajaan terdahulu menerusi hasil laporan Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dibentuk oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno.

“Dalam laporan itu, PSS ini dikenali sebagai Pas Residen Sementara Sabah (PRSS), mereka (kerajaan lalu) sepatutnya menjelaskan perkara itu kepada orang awam pada zaman pemerintahan mereka.

“Kini mereka cakap PSS ialah Warisan…Warisan, ia bukan Warisan sebaliknya ianya adalah satu penyelesaian.

“Sekurang-kurangnya kini Shafie dan kerajaan persekutuan boleh berbincang bersama-sama mencari penyelesaian kepada perkara ini, tetapi penting kepada Kerajaan Sabah untuk tahu secara terperinci kandungan PSS ini,” katanya.

Darell yang juga Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, Kerajaan Sabah juga bimbang PSS itu dilaksanakan tanpa mengetahui perkara mengenainya secara lebih terperinci.

“Setakat ini semuanya dalam keadaan baik, cuma ianya dimanipulasikan oleh orang ramai secara emosional.

“Fikir sahaja kita ada masalah ini, apa yang perlu kita lakukan untuk atasinya?…kenapa kita tidak ambil maklumat terperinci mereka secara biometrik berbanding dokumen yang sedia ada.

“Sekian lama mereka individu yang sama dari kerajaan terdahulu hanya tahu Complain sahaja tetapi tidak melaksanakan sesuatu berdasarkan laporan RCI berkenaan.

“Kepada mereka yang banyak pendapat terhadap sesuatu keputusan yang belum diketahui…bersabarlah, kamu juga membenarkan rakan kamu di kerajaan dulu yang kalah dalam pilihan raya umum.

“Kini rahsia berkenaan sudah dibongkarkan, dan kenapa masih bercakap negatif terhadap idea kamu sendiri ilhamkan…kini mahu salahkan kami (kerajaan Baharu ) yang nampak ianya satu penyelesaian.

“Saya tahu ramai akan mainkan isu ini, sebab ianya sesuai dengan agenda mereka, mereka tidak boleh bercakap mengenai pembangunan sebab mereka tidak melakukannya dengan baik,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *