Tular Kematian Kanak-Kanak Akibat H1N1 Di Likas, KKM Masih Siasat

Noor Hisham (kanan) bersama Frankie tiba di Pulau Gaya bagi menyempurnakan kempen berkenaan.

Kes kematian kanak-kanak akibat H1N1 dalam siasatan

KOTA KINABALU: Penularan mengenai kes kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dari Tadika Taska Chung Hwa Likas yang dikatakan disebabkan oleh Influenza A (H1N1) masih dalam siasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan diadakan bagi menentukan sama ada penyebab kematian adalah benar-benar disebabkan oleh H1N1.

“H1N1 kini sudah berada dalam komuniti, ianya kini sedang tular…apa yang lebih penting sekarang adalah bagaimana kita mengatasi masalah berkenaan khususnya dari segi kebersihan dan alam sekitar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kempen Imunisasi Polio Sabah 2019/2020, di sini.

Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan sama ada kematian mangsa benar-benar disebabkan H1N1 ataupun komplikasi selepas jangkitan penyakit berkenaan.

“Walaupun ramai dalam kalangan masyarakat menganggap kes kematian ini disebabkan oleh H1N1, sebab itulah siasatan diadakan untuk memastikan punca kematian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata, sejumlah RM50,000 kompaun telah dikeluarkan sejak penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat awam di Sabah.

“Pada 1 Januari lalu, pasukan penguatkuasa kita telah melaksanakan tugas dan masih terdapat antara individu yang merokok di kawasan larangan walaupun tempoh kempen pendidikan penguatkuasaan larangan berkenaan telah dilakukan selama setahun.

“Sehingga kini, kita sudah mengeluarkan kompaun terhadap ramai pesalah yang nilainya mungkin mencecah RM50,000,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *