BONGAWAN: Apa yang boleh dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) kepada Sabah selama 60 tahun parti itu memerintah Malaysia dengan mengambil sumber kekayaan di negeri ini?
Jika dibandingkan dengan Semenanjung apatah lagi Kuala Lumpur, kemudahan pengangkutan di sana sangat baik termasuklah lebuh raya yang luas serta perkhidmatan kereta api berteknologi tinggi.
Di Sabah pula apa yang ada ialah jalan berbatu, berlubang-lubang serta kemudahan kereta api yang terlalu uzur yang menjadi pengangkutan alternatif penduduk Kimanis pergi ke Kota Kinabalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, itulah antara kegagalan UMNO dan BN selama mereka mentadbir negara ini, iaitu rakyat Sabah tidak dapat menikmati segala kemudahan seperti yang dinikmati orang Semenanjung walaupun negeri ini adalah antara penyumbang kepada hasil negara.
“Orang Sabah sudah lama susah, yang kasi susah orang Sabah ialah BN dan UMNO, dia kasi susah kita di Sabah, dia perintah berapa tahun di Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, jangan cerita, di kampung masih tiada air.
“Di pantai timur lampu ‘on’ ‘off’ ada elektrik tiada elektrik, di Sabah ada sekolah tapi papan, di Kuala Lumpur simen, di Kuala Lumpur jambatan besi di sini jambatan kita buloh, kereta api mereka laju kereta api kita laju macam ‘karabau’,” katanya ketika berucap dalam Program Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpangan petang ini.
Kereta api di Sabah yang bermula dari Tanjung Aru sehingga ke Tenom sepanjang 134 kilometer adalah satu-satunya kemudahan pengangkutan seperti itu yang ada di pulau Borneo.
Bagaimanapun, kemudahan itu tidaklah sehebat pelbagai jenis pengangkutan dan kereta api laju yang ada di Semenanjung.
Mohd. Shafie berkata, UMNO dan BN sebenarnya telah kehabisan modal untuk merayu sokongan rakyat Sabah dalam soal pembangunan sebab itulah mereka sekarang membuat tuduhan dan mengaitkan Warisan sebagai parti pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, tuduhan tersebut bertujuan memecah-belahkan perpaduan rakyat Sabah yang kini bersama Warisan.
“Mereka tidak boleh cerita pembangunan pasal apa mereka sudah perintah 50 tahun gagal, cuma dia guna isu PATI untuk ambil undi kita, kasi pecah orang Sabah,” katanya.