Suspek Samun Pemandu Grab Wanita Ditahan

Suspek akhirnya diberkas polis. – Gambar IPD Papar

PAPAR: Seorang suspek yang diburu polis selepas disyaki terbabit kes samun pemandu Grab wanita di Kinarut, Selasa lalu akhirnya berjaya diberkas di Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata suspek, 20, yang bekerja sebagai konduktor bas itu disyaki terbabit dalam samun yang berlaku di Kampung Gana, Kinarut, pada 7 Januari lalu.

“Suspek ditahan pada pukul 6 petang dan kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan masih dalam siasatan polis.

“Keadaan mangsa stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bartholomew menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada pemandu Grab supaya lebih berhati-hati dan berwaspada ketika mengambil penumpang bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari Selasa lalu, pemandu Grab seorang wanita berusia 59 tahun di cedera di kepala dan muka apabila disamun lelaki yang juga penumpangnya.

Mangsa ditinggalkan di tepi jalan Kampung Gana, Kinarut dalam keadaan mukannya berdarah.

SabahNewsToday

3402