Penyelia Ladang Antara 3 Lelaki Terlepas Hukuman Gantung

Donny Pulaki (kiri) gembira sambil memeluk isterinya, Hamriah Hafid selepas dibebas dan dilepaskan Mahkamah Tinggi atas pertuduhan mengedar 79.6 gram dadah jenis Methamphetamine (Syabu), dua tahun lalu. Gambar Abdul Rahemang Taiming

Lega bebas hukuman gantung

TAWAU: Tiga lelaki termasuk seorang penyelia ladang menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar 79.6 gram dadah jenis methamphetamine (syabu) dua tahun lalu.

Hakim Datuk Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas tertuduh Donny Pulaki, 36, Bin Uman, 36, dan Iskandar Abd Rahman, 41, didapati tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Lee berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi, pihak pendakwaan gagal membuktikan ketiga-tiga tertuduh mempunyai kawalan dan atau milikan terhadap barang kes iaitu dadah yang ditemui di bonet kereta yang dipandu oleh tertuduh pertama (Donny).

Mengikut pertuduhan pindaan, ketiga-tiga mereka dituduh secara bersama mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 79.6 gram pada 1 Mac 2017 kira-kira jam 3.30 petang kawasan Pasaraya Suka Ramai, Batu 2, Jalan Apas, Tawau.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Enam saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifuddin Abdul Rasa manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing iaitu Abdul Ghani Zelika, Hamid Hamzah dan Mohd Fadzullah Zainal Abidin.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Dony yang juga bekas penyelia sebuah ladang, tersenyum dan bersalaman dengan peguam serta ahli keluarganya.

“Tiada ungkapan yang boleh menggambarkan perasaan gembira apabila dibebaskan hari ini selain bersyukur kepada Allah SWT kerana selama ditahan dalam penjara, saya hanya memikirkan keadaan keluarga.

“Ketika ditahan, isteri sedang mengandung tiga bulan dan saya tidak pernah putus harapan selain berdoa semoga kes ini berjalan lancar dan mendapat keadilan,” katanya yang tidak sabar mahu bertemu anak bongsunya yang kini berumur dua tahun.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *