Mayat Lelaki Hilang Di Ranau Ditemui Terapung 30 Kilometer Dari Lokasi

Mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung.

RANAU: Seorang lelaki yang hilang selepas keluar menangkap ikan di Sungai Kagibangan, Kampung Bitoon, Ahad lalu, ditemui lemas hari ini.

Mangsa Junaidi Jaukan, 31, ditemui pasukan penyelamat dan penduduk kampung di Sungai Kolowoton, Kampung Mantapuk Miruru iaitu kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian, jam 1.26 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, operasi hari ketiga bersambung dengan operasi pencarian ‘surface searching’ (pencarian di permukaan) dari lokasi kejadian pada jarak 10 hingga 30 kilometer di sungai berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat turut menggunakan bot penduduk kampung.

“Kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian, mayat mangsa akhirnya ditemui oleh penduduk kampung dan pasukan penyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan oleh pihak polis kira-kira jam 3 petang tadi,” katanya.

Pada Ahad lalu, lelaki itu yang berasal dari Kampung Bitoon, dikatakan keluar menangkap untuk ikan dan tidak pulang ke rumah menyebabkan ahli keluarganya membuat laporan kepada BBP Ranau.

Susulan itu, pihak berkuasa mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 10.15 pagi, kelmarin.

Operasi mencari dan menyelamat turut membabitkan Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *