TUARAN: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) bisu dan hiperaktif dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu di Jalan Pahu – Nulu di Kampung Nulu, Kiulu di Tuaran.
Andraus Yangkilamai, 39, disedari hilang oleh ahli keluarganya selepas tidak pulang ke rumah kira-kira jam 5 petang.
Penduduk, Liza Suamin, 39, berkata, bapa saudaranya itu kali terakhir dilihat mengikuti ibunya ke kebun sayur tidak jauh dari rumah mereka.
“Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, Andraus berjalan lebih laju dari ibu saya dan sebaik ibu tiba, bapa saudara didapati tiada di rumah dipercayai melarikan diri.
“Sebelum ini, sudah lima kali dia melarikan diri di kawasan kampung dan ditemui penduduk lain namun kali ini semua penduduk kampung memaklumkan dia tidak dilihat di kampung sejak lapan hari lalu,” katanya dihubungi hari ini.
Menurutnya, laporan polis sudah dilakukan oleh ahli keluarganya di balai polis berhampiran.
“Penduduk kampung juga sudah memulakan pencarian mangsa di sekitar lokasi dan kampung berhampiran.
“Dia tidak berbahaya tetapi hanya seorang yang hiperaktif dan tidak boleh bercakap,” katanya.
Liza berkata, mangsa keluar dengan memakai baju lengan pendek berwarna merah dan seluar panjang.
“Sehingga kini, kami belum menemui petunjuk dan jika sesiapa mempunyai maklumat, boleh menghubungi segera bapa saya, Suamin Sikir di talian 013-5423654,” katanya.