TUJUH LELAKI DITAHAN JUAL BAJA MILIK SYARIKAT
LAHAD DATU: Polis berjaya mematahkan cubaan tujuh lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia terbabit melakukan pecah amanah dan sindiket jual baja kelapa sawit bernilai RM656,852 di sebuah gudang persendirian yang terletak di dalam ladang kelapa sawit Batu 4, Jalan Lahad Datu –Sandakan, dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata ketika intipan dijalankan kira-kira jam 10 malam, pihaknya mendapati kesemua suspek berusia 17 hingga 38 tahun kelihatan sedang memunggah baja terbabit dari dua lori yang dipenuhi muatan 1,200 guni berisi 60 tan baja.
“Kita kemudian menyerbu gudang berkenaan dan berjaya menahan lima pekerja gudang dan dua pemandu lori baja.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lori terbabit membawa muatan 60 tan baja dan kita turut menemukan 2,450 guni lagi berisi baja di dalam gudang berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan yang dilakukan terhadap seorang suspek yang juga mandur di gudang persendirian berkenaan mendapati dia didatangi dua pemandu lori milik sebuah syarikat swasta.
“Kedua-dua pemandu lori berkenaan mahu menjual sebahagian baja muatan lori itu sebelum dihantar ke destinasi yang diarahkan pihak majikannya.
“Baja berkenaan akan dijual dengan harga murah kepada sindiket baja sebelum dibungkus semula dan dijual di pasaran daerah ini,” katanya.
Nasri berkata modus operandi kes ini mendapati pemandu lori berkenaan akan singgah ke gudang itu dan menjual sebahagian daripada baja terbabit sebelum dihantar ke destinasi tujuan.
“Siasatan turut mendapati sindiket jual baja ini sudah beroperasi sejak awal tahun lalu.
“Semua baja bernilai RM656,852 dirampas manakala suspek ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 407 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah,” katanya.
SabahNewsToday