‘Warisan Bagi Duit Ambil, Tak Bagi Minta’

BN menyeru pengundi Kimanis supaya bukan sahaja mengambil wang sekiranya diberikan oleh pemimpin parti Warisan, malah memintanya daripada mereka.

Bagaimanapun Pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin, mengingatkan pengundi pada pilihan raya kecil itu supaya jangan sesekali mengundi calon Warisan, Karim Bujang.

“Saya dengar dia (Warisan) mahu bagi duit, ambil. Dia mahu bagi apa ambil, kalau dia tak bagi, minta. Ambil saja, mereka pemerintah.

“Inilah masanya, ini saatnya, ini kalilah kita ubah balik. Ini waktu kita singkir kerajaan yang zalim, kalau mahu ajar Warisan kita mula di Kimanis,” katanya ketika ceramah di Kimanis, malam tadi.Iklan

Bung berkata kuasa wang yang dimiliki parti Warisan tidak mampu menghalang kemaraan rakyat di Kimanis.

“Dia jangan lupa kalau rakyat mahu menolak Warisan, kuasa wang ringgit Warisan tak mampu menghalang kemaraan rakyat di sini.

“Saya sakit hati sebab mereka sebelum ini dari BN, dapat jawatan dari BN, selepas itu (keluar BN) kata tak ada pembangunan.

Sabah for Sabahan tak apa, ini orang rumah orang Malaya juga, lepas pilihan raya umum dia (Warisan) bergabung dengan DAP dan PKR,” katanya.

Sudah biasa, sudah reda

Hadir sama dalam ceramah itu, Anggota Majis Tertinggi Umno, Md Alwi Che Ahmad.

Terdahulu ketika ucapannya, Bung meletakkan pembesar suara di telefon bimbitnya dan memainkan ucapan penuh bersemangat Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal ketika bersama Umno.

Bung memetik ucapan Shafie yang mengangkat Umno sebagai wadah perjuangan bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia khususnya ketika memperjuangkan kemerdekaan negara.

Sementara itu, Bung yang juga anggota Parlimen Kinabatangan turut mengulas mengenai kes mahkamah yang dihadapinya kini apakah akan memberi kesan kepada BN dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Menjawab dengan berpantun, Bung berkata beliau yakin rakyat Sabah mampu menilai dan perkara itu tidak akan memberi kesan.

“Tiada kebimbangan, sebab saya sudah biasa, saya sudah reda, tekad dan tawakal bahawa Allah SWT tidak akan menyusahkan orang yang tidak berdosa, insya-Allah,” katanya.

Bung juga turut memaklumkan yang bekas anggota Parlimen Kimanis, Anifah Aman, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) serta parti pembangkang lain akan membantu kempen bagi memenangkan calon BN Mohamad Alamin.

Begitu juga dengan PAS yang kini bersama Umno dan Muafakat Nasional akan turut serta membantu kempen BN.

Sumber: MalaysiaKini

2185