PRK Kimanis: Calon Warisan Mohon Maaf Jika Ada Kesalahan Silam

Datuk Karim Bujang berucap ketika mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Bandau Membakut hari ini. Gambar Bernama

KIMANIS: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang memohon maaf kepada pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis jika beliau pernah melakukan kesalahan semasa menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, sebelum ini.

Tanpa menjelaskan kesilapan itu, Karim berkata sebarang kesalahan dilakukannya sebelum ini adalah tidak disengajakan dan beliau merayu supaya diberikan peluang untuk mewakili rakyat di kawasan Parlimen Kimanis ini.

“Saya ingin mohon maaf sekiranya saya ada melakukan kesalahan yang saya tidak sengajakan sebelum ini.

“PRK ini begitu penting kerana ia bakal menentukan masa hadapan kita. Kita harus membuat keputusan yang betul,” katanya ketika berucap semasa berkempen di Kampung Bandau, Membakut di sini, hari ini.

Karim, 67, pernah menjadi ADUN Bongawan dari 1990 hingga 2013 selain pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet Sabah sebagai pembantu menteri.

DUN Bongawan terletak di bawah Parlimen Kimanis. Satu lagi kawasan dalam parlimen berkenaan ialah DUN Membakut.

PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Karim manakala BN meletakkan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *