Pemandu Grab Wanita Dipukul Dan Disamun

Pemandu Grab wanita cedera selepas dipukul dan disamun. Sumber media sosial

PAPAR: Seorang pemandu Grab wanita cedera di bahagian kepala dan muka apabila disamun seorang lelaki yang juga penumpang perkhidmatan berkenaan di kawasan Kinarut, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa wanita berusia 59 tahun dikatakan mengambil seorang penumpang lelaki di pekan Inanam.

Sumber berkata, suspek menempah perkhidmatan Grab untuk ke Karamunsing.

“Sebaik tiba di lokasi yang ditempahnya, suspek meminta supaya mangsa menghantarnya di Kinarut.

“Ketika tiba di Kinarut, suspek bertindak memukul belakang kepala dan muka mangsa sebelum meninggal mangsa di tepi jalan Kampung Gana, Kinarut,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kenderaan milik mangsa jenis Perodua Myvi.

“Turut dilarikan barang peribadi mangsa.

“Penduduk kampung yang melihat keadaan mangsa berlumuran darah kemudian segera membantu sebelum menghubungi pihak polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Mangsa sudah dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

“Kita percaya dalam masa terdekat suspek akan dapat diberkas,” katanya.

Batholomew berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu dimohon supaya tampil ke balai polis untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394/379 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *