Pelaksanaan PSS Atasi Pengeluaran Dokumen Palsu

MEMBAKUT: Kementerian Dalam Negeri menegaskan semua Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dipalsukan selama ini akan dapat dikesan selepas pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dijangka bermula 1 Jun 2020.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, pemeriksaan ketat akan dilakukan semasa kad tersebut dikeluarkan, justeru mana-mana pemohon yang didapati memegang dokumen palsu akan ditangkap serta-merta.

Katanya, selepas tempoh penukaran PSS ditutup pula, semua IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang masih digunakan dianggap haram dan mana-mana pemegangnya akan turut ditangkap, dipenjara dan diusir balik ke negara asal mereka.

“Saya ingin jelaskan di sini bayangkan saya buat senario apabila ini bermula 1 Jun 2020 bila dibuka kaunter orang-orang ini akan datang ke kaunter, saya pemegang IMM13 saya ingin tukar IMM13 kepada PSS pada masa itu ketiga-tiga agensi duduk di sana katakanlah si Ali datang pada masa itu kalau dia pegang IMM13 maka pada masa itu kita minta Imigresen periksa kalau di dalam data Imigresen itu menunjukkan data orang itu ada dan pada masa itu kita tukarlah, maknanya dia adalah pemegang asli.

“Kalau contoh si Ali ini datang ke kaunter, dia mahu tukar Kad Burung-Burung ke PSS kita akan serahkan Kad Burung-Burung itu kepada Jabatan Hal ehwal Sabah untuk periksa rekod mereka kalau rekod mereka tidak menunjukkan bahawa orang ini berdaftar, maka apa kita buat dengan orang ini, kita masukkan dalam kandang bahawa kamu la orang yang kita buru.

“Inilah mekanisme yang kita lakukan untuk memastikan agar pemegang-pemegang palsu ini dapat kita tangkap mereka, mungkin ada pemegang palsu ini yang mungkin tidak akan datang ke kaunter mungkin mereka tahu itu palsu, kita membuat operasi besar-besaran selepas tutup penukaran PSS ini Imigresen akan membuat operasi dan kalau ada kita tangkap bila tangkap minta dokumen dia bagi kita IMM13 apa kita akan buat pada masa itu sudah tentu kita akan tangkap masuk kandang, tidak payah periksa masuk kandang, dia tunjuk Sijil Banci tidak payah periksa kita tangkap kenapa kamu tidak tukar dulu bererti kamulah orang-orang yang kita buru, pemegang-pemegang dokumen palsu yang kita cari,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Azis berkata, hanya 136,055 kad PSS dijangka dikeluarkan berdasarkan kepada jumlah pemegang ketiga-tiga dokumen berkenaan yang ada di negeri ini sekarang.

Katanya, tiada apa-apa penambahan pengeluaran PSS kerana jumlah yang ditetapkan itu adalah berdasarkan kepada bilangan ketiga-tiga dokumen tersebut yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum ini.

Sementara itu, mengulas tentang tindakan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang memainkan isu PSS sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Mohd. Azis berkata, mereka bersikap munafik kerana tidak mengaku bahawa PSS telah terlebih dahulu dicadangkan sewaktu mereka memerintah.

“Kalaulah PSS ini dapat menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah pujian harus diberikan kepada UMNO dan BN kerana mereka yang telah memulakan inisiatif ini dan kalau ini berjaya mereka harus dipuji, ikhlas kerana niat dan nawaitu kita sama.

“Tapi saya sedih sebagaimana saya sebut bila UMNO dan BN politikkan isu ini itu yang saya sebut tadi bila mana saya sebutkan UMNO dan BN parti yang munafik kerana mereka yang mencadangkan hari ini mereka serang kita dengan apa yang mereka cadangkan jadi saya rasa agak kecewalah,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *