JAKARTA – Indonesia semalam mengerahkan empat kapal perang tambahan ke kepulauan Natuna berhampiran kawasan pertikaian di Laut China Selatan selepas kapal milik Beijing enggan meninggalkan kawasan tersebut.
“Ia akan menyertai empat kapal lain pada hari ini. Kita juga ada ratusan anggota keselamatan di sana,” lapor CNA memetik kenyataan Pegawai Hal Ehwal Awam dengan Kawalan Armada Pertama Tentera Laut Indonesia, Komander Fajar Tri Rohadi.
Puluhan bot nelayan China didakwa memasuki perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Natuna pada bulan lalu.
Menurut Komander Rohadi, Badan Keamanan Laut Indonesia (BAKAMLA) turut meronda di kawasan itu.
“Mereka sudah menghampiri bot nelayan tersebut dengan berkomunikasi menerusi radio. Kami mahu ia tinggalkan kawasan itu. Mereka menangkap ikan secara haram. Kami berharap mereka memahami undang-undang Indonesia. Ia adalah hak kedaulatan negara ini,” tegasnya.
Difahamkan, bot nelayan China itu terdapat di kira-kira 30 lokasi dan setiap daripadanya menempatkan sehingga dua bot.
Tiga kapal peronda pantai Beijing turut kelihatan di kawasan itu.
Sementara itu, Menteri Penyelarasan untuk Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Mahfud MD memaklumkan kira-kira 120 nelayan akan dihantar ke Natuna.
“Undang-undang antarabangsa menetapkan perairan dimasuki oleh bot China itu adalah milik kami. Indonesia berhak untuk meneroka kekayaan hasil laut termasuk pada kedalaman 200 meter di sana,” katanya.
Tindakan itu turut menyebabkan Kementerian Luar memanggil Duta Beijing di Jakarta untuk menyuarakan bantahan.
Sebelum ini, China menegaskan perairan Natuna adalah kawasan tangkapan ikan turun-temurun untuk nelayan mereka. – Agensi