SEPANG: AirAsia menawarkan penerbangan lewat malam dengan tambang rendah tetap bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan penerbangan antara 21 hingga 31 Januari ini sempena Tahun Baharu Cina.
Tambang ditawarkan syarikat berkenaan kepada pelanggan bermula dari RM149 bagi laluan Kuala Lumpur ke Sibu, Bintulu dan Miri serta laluan Johor Baharu ke Sibu.
Selain itu, RM169 dikenakan untuk laluan sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke dua destinasi sama ada Sandakan atau Tawau.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan berbesar hati AirAsia mengambil inisiatif berkenaan bagi membantu rakyat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Katanya, beliau sebelum ini banyak menerima maklum balas mengenai harga tiket penerbangan yang mahal terutama ke Sabah dan Sarawak.
“Saya terima banyak maklum balas dari masyarakat, kebanyakannya yang menetap di Kuala Lumpur terutama pelajar tidak dapat pulang ke Sabah atau Sarawak disebabkan harga tiket yang mahal.
“Mereka ini tidak seperti penduduk Semenanjung kerana mempunyai banyak alternatif lain untuk pulang ke kampung masing-masing. Jadi, dengan penetapan harga tiket yang rendah ini ia sangat membantu terutamanya kepada mereka di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Pengumuman Penerbangan Lewat Malam dengan Tambang Rendah Sempena Tahun Baharu Cina di ibu pejabat AirAsia RedQ, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata ini bukan kali pertama syarikat menawarkan penerbangan lewat malam seumpama itu.
Beliau berkata, pengumuman itu adalah sebahagian dari usaha Kemakmuran Bersama AirAsia yang diperjuangkan sejak dulu lagi.
“Kami sangat menghargai maklum balas dari pelanggan yang mahu tambang rendah ke Sabah dan Sarawak sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
“Justeru, kami berbesar hati menambah penerbangan lewat malam ini dengan 12,960 tempat duduk untuk penerbangan tambang rendah di beberapa bandar terpilih di Sabah dan Sarawak.
“Selain itu AirAsia menawarkan 65,826 tempat duduk tambahan untuk laluan popular di seluruh Malaysia dan Singapura. Sama ada pelanggan pulang bagi meraikan perayaan atau bercuti bersama keluarga, kami berharap penerbangan tambahan ini akan memeriahkan lagi perayaan mereka,” katanya.
Berita Harian