KIMANIS: Umno menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat Warisan bagi kesalahan pilihan raya selepas memberi hadiah cabutan bertuah yang terdiri daripada kereta dan motosikal.
Ketua Penerangan Umno, Shamsul Anuar Nasarah mendakwa Warisan memberikan barangan tersebut semasa sambutan Krismas dan Tahun Baru di Membakut, semalam.
“Kami difahamkan semasa program itu, Warisan menyediakan hadiah cabutan bertuah yang terdiri daripada 50 motosikal dan 3 kereta untuk pemenang bertuah.
“Kami menggesa SPR menyiasat dan mengambil tindakan kerana ini melanggar peraturan pilihan raya,” katanya semasa berceramah di Batu 6, semalam.
Shamsul berkata tidak salah menyambut perayaan itu tetapi pemberian hadiah kepada pengundi semasa tempoh kempen pilihan raya adalah tidak sah.
Beliau berkata Warisan mesti menghormati undang-undang untuk menunjukkan integritinya sebagai kerajaan yang memerintah.
“Jika anda tidak menghormati undang-undang, maka bagaimana anda boleh mentadbir?
“Kami berharap SPR akan telus. Tindakan mesti diambil dan peraturan diperhatikan untuk menjaga integriti dan institusi pilihan raya,” katanya.
Shamsul juga mengkritik Presiden Warisan Shafie Apdal yang menyeru pengundi tidak mengundi BN supaya BN tidak bangkit semula kerana ia merupakan parti berasaskan semenanjung, dan menuduh BN tidak membawa pembangunan besar kepada Sabah ketika ia berkuasa.
“Dia berkata masih ada rakyat yang tiada rumah, dia tidak mempunyai hak untuk berkata begitu.
“Semasa dia menjadi menteri (pembangunan luar bandar dan wilayah) di bawah BN, Shafie mempunyai peruntukan lebih RM34.8 bilion, yang kedua tertinggi selepas Jabatan Perdana Menteri. Jadi kenapa dia tidak melaksanakan projek itu? Kenapa ada banyak masalah kemudian?” soalnya.
Beliau berkata Shafie adalah satu-satunya pemimpin Sabah yang dilantik sebagai menteri kanan dalam Kabinet Persekutuan.
“Shafie berperanan ke atas kementerian yang bertanggungjawab untuk membangunkan infrastruktur dan membasmi kemiskinan. Dia mempunyai agensi penting seperti Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Felcra di bawahnya.
“Dia diberikan tanggungjawab tetapi tidak menjalankannya dengan betul. Apa yang dia katakan semuanya adalah retorik.”
Shafie, selepas penamaan calon semalam, menggesa pengundi di Kimanis memastikan kemenangan Warisan “supaya BN tidak bangkit semula di Sabah”.
Sumber: FMT