‘Saya Akan Jadi Ahli Parlimen Berhati Rakyat Malaysia’

Mohamad Alamin

MEMBAKUT: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, menjelaskan beliau akan menjadi seorang Ahli Parlimen yang mewakili semua rakyat Sabah dan Malaysia.

Beliau berkata, jika menang, beliau tidak akan menjadi Ahli Parlimen berhati Kuala Lumpur, merujuk kepada dakwaan pihak lawannya yang mengatakan beliau orang Sabah tetapi berhati Kuala Lumpur.

“Kalau saya menang saya akan jadi Ahli Parlimen bukan yang berhati Kuala Lumpur tetapi berhati seluruh rakyat Malaysia dan seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam satu temuramah dengan portal televisyen dalam talian ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut, di sini, malam tadi.

Sebelum itu, Mohamad menjelaskan slogan Sabah untuk orang Sabah dan persepsi yang dilaungkan Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak memberi apa-apa makna.

“Janganlah kita main slogan Sabah untuk orang Sabah, yang penting ialah hasil. Kalau Sabah untuk orang Sabah apa yang rakyat dapat.

“Kalau dia (WARISAN) boleh beri lebih daripada UMNO, okay tapi realitinya jauh sekali. Jauh panggang dari api, ibarat langit dan bumi beza dia. Tak guna dia kata parti didakwa tempatan,” katanya.

Kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada ucapan Ketua Menteri yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa Sabah tidak mahu orang berwajah Sabah tetapi berhati bukan Sabah.

Mohamad mendakwa WARISAN sebenarnya panik apabila melihat keadaan Pakatan Harapan (PH) yang semakin ditolak rakyat sebagai punca tidak mengakui hakikat bahawa parti itu adalah sebahagian daripada PH.

“Mereka takut tapi rakyat tahu pembabitan mereka dan cara mereka kerja. Dalam kerajaan negeri juga ada parti PH, jadi ini hanya retorik politik,” katanya.

Harian Metro

450