Jangan Bawa Politik Pecah Belah Ke Sabah – Shafie Apdal

KIMANIS, 5 Jan: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan pihak tertentu supaya tidak memainkan dan membawa budaya politik pecah belah ke negeri ini. 

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata walaupun setiap parti bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis mempunyai hak untuk berkempen, ia haruslah dilakukan dengan cara yang tertib. 

“Jika nak raih undi raihlah, kalau nak lawan lawanlah tetapi jangan gunakan (politik) pecah belah dengan menggunakan (isu) kaum dan agama. 

“Kami aman damai di  Sabah, jangan heret dan bawa budaya memecah-belahkan rakyat di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan cawangan Warisan di Kelatuan dekat sini hari ini. 

PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN). 

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang, 67, yang akan dicabar calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan.

BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *